Jumaat, September 01, 2006

Penerbitan Buku dan Pemerkasaan Sastera Di Sabah


SEMUA mengharapkan sesuatu yang terbaik. Semua ingin memandang suatu gerakan yang telus. Semua juga telah menyatakan impian agar pemerkasaan sastera di Sabah khususnya dilangsungkan mengikut arus sejagat. Malah semua mahu berjuang, mahu juga berkata dengan jujur, mahu merasai penglibatan yang berterusan. Inilah senario yang terkesan dalam dialog dengan Ketua Pengarah DBP, Dato' A.Aziz Deraman yang berlangsung di Hotel Tang Dynasty, Kota Kinabalu.

Banyak persoalan yang berbuku, yang beku, yang bersembunyi, yang disembunyi dan sebagainya lagi, cuba diurai dan dihurai. Isu biasa yang lazim diperkatakan hinggalah hal-hal besar dalam rencam sastera tanah air, sedaya upaya dilebarkan untuk tindakan. Para penulis generasi baru tentulah bertuah kerana mereka disokong oleh penulis-penulis veteran seperti Datuk Khalik Zaman, Datuk Ismail Abas dan juga Haji Jalidar Abdul Rahim. Mereka menyarakan agar lebih banyak buku-buku hasil karya penulis generasi baru diterbitkan.

Datuk Ismail Abas yang pernah menerima Sea Write Award merasakan sudah sampai masanya penulis dari Sabah dicalonkan sekali lagi untuk anugerah ini. Namun dari pandangan yang jauh, saya kira ini tidak mungkin tercapai sekiranya penulis-penulis itu tidak mempunyai karya yang besar, tidak saja besar tetapi juga diterbitkan dalam bentuk buku yang sempurna sifatnya. Setakat ini, hanya Azmah Nordin saja yang mempunyai jumlah buku yang tersendiri. Pada saya, tidak ada kebanggaan apa-apa sebagai seorang penulis atau hebat digelar seorang sasterawan, sekiranya tidak mempunyai buku. Karya-karya eceran atau tulisan-tulisan dalam bentuk kertas kerja yang tersepit dalam fail-fail kurang membantu pemertabatan seseorang seperti mana ia ditempatkan sebagai seseorang dalam bidangnya.

Baik kita tanya kepada beberapa tokoh sastera kita, di manakah mereka dalam pentas sastera yang beberapa kali menerima anugerah setimpal dengan penglibatan mereka tetapi tidak mempunyai satupun buku. Haji Jalidar menyebut beberapa nama termasuklah Datuk Jamdin Buyong. Saya pernah menanyakan perkara yang sama, apakah pihak DBP juga berperanan membuat penyelenggaraan karya penulis-penulis seperti Datuk Jamdin Buyong apabila Datuk Jamdin tidak melakukannya? Namun ini tidak dijawab sewaktu majlis Wacana Penerbitan diadakan beberapa hari yang lalu.

Jangka masa penerbitan buku siap juga menjadi perbincangan penting dan KP DBP bersetuju bahawa tidak masuk akal sekiranya sebuah buku hanya mampu disiapkan dalam tempoh 10 tahun. Apatah lagi ada kisah yang mengharukan, apabila ada penulis yang tidak sempat menatap karyanya diterbitkan setelah dia menutup usianya. Ini contoh yang tidak harus terjadi beberapa kali apabila persoalan penerbitan buku ini menjadi satu isu yang berlanjutan sekian lama.

Dalam konteks DBP Sabah, ia sentiasa berubah mengikut rentak kepimpinan organisasinya dan kepimpinan pegawai projeknya. Para penulis memang bernasib baik apabila kepimpinan yang berubah itu mampu melakukan sesuatu yang terbaik. Tidak bermakna kepimpinan lepas tidak baik cuma ia perlu pengukuhan. Namun keadaan ini selalunya tidak abadi. Katakanlah manusia itu tidak statik tetapi ini realiti yang terjadi di Sabah. Kita yakin dengan kepimpinanan yang baru sekarang, persoalan penerbitan buku dapat dikecilkan seterusnya menipis untuk diperkatakan beberapa tahun kemudian. Kata Haji Ismaily Bongsu, pengarah DBP Cawangan Sabah sekarang ini *Haji Hamzah Hamdani) dilabelkannya sebagai 'kegilaan menerbitkan buku'.

Saya turut menyarankan supaya bengkel-bengkel penulisan dilaksanakan secara berterusan mengikut fasa-fasanya. Misalnya bagi penulis angkatan baru, penulis yang mantap dan penulis yang perkasa. Dengan pembahagian fasa ini, setiap generasi berpeluang menimba ilmu sesuai dengan kebolehan yang mereka miliki bila berhadapan dengan pendamping dan pembimbing. DBP cawangan Sabah boleh memanjangkan aktiviti ini kepada beberapa NGO sastera di seluruh negeri bagi membantu mereka mengembangkan sastera tanah air.

Di samping itu karya-karya biografi juga wajar dikembangkan. Genre penulisan ini memang kurang mendapat tempat berbanding genre sastera yang sedia ada. Namun ia masih mempunyai penulis yang perlu diasah dari semasa ke semasa. Bengkel-bengkel yang berterusan perlu diadakan. Semua ini memerlukan upaya yang tinggi, komitmen yang tidak sepi, ungkayah yang tidak merundum daripada pihak DBP khususnya dan NGO sastera yang berkaitan. Dalam erti kata yang lain, satu paduan kerja, perbincangan, serasehan, dialog, forum dan seumpamanya amatlah dituntut antara DBP, penulis dan pimpinan NGO yang berkenaan.

Mudah-mudahan terjadi sesuatu yang terbaik selepas majlis dialog ini dengan harapan yang bukan berakhir agar usaha mengangkat martabat sastera dan bahasa Melayu terletak di tangan semua pihak. Seperti saranan Sdr Hashim Haji Ibrahim, 'orang atasan juga wajar turut melaksanakan apa kita lakukan'.

Tiada ulasan: