Khamis, Oktober 17, 2002

PAPARAN, KACA DAN BUNGA YANG BERGUGURAN DALAM CERPEN ‘PAPARAN’: SATU ANALISIS UMUM :


SAYA ingin merakamkan terima kasih kerana diberi ruang untuk menyampaikan sesuatu yang sederhana sifatnya tetapi tetap membantu untuk menyemarakkan sastera Melayu kita di negeri ini khususnya di Sandakan ini sendiri. Barangkali tugas saya kelihatannya tidak semudah yang disangkakan kerana diminta membahaskan cerpen hasil karya salah seorang penulis yang prolifik dari daerah Sandakan. Barangkali juga perbahasan ini tidak memadai disebabkan batas yang terhad mengajak anda sama-sama membantu saya agar ruang yang disediakan pada hari ini memberi makna yang amat mendalam.

Pengarang atau penulis memang mempunyai ruangnya sendiri walaupun kebanyakan orang secara jelas tidak menyedarinya. Ia bermula dari buah fikir yang mengalir melalui mata pena (papan kekunci dan monitor) yang akhirnya mengembang di atas kertas yang terbatas sifatnya. Keterbatasan itu kemudian beralih pula ke pentas yang lebih terbuka. Inilah ruang kita mewacanakan selembar pemikiran yang dilontarkan oleh penulis dan antara kita semua yang hadir pada hari ini akan memberikan reaksi yang saling berbeza tetapi menambah yang belum ada. Saya yakin pemikiran para pengarang di mana saja tidak ada batasnya apa lagi bernoktah. Mereka tidak kenal apakah noktah bagi seribu satu bentuk yang bergejolak dalam minda, dalam diri dan dalam batin. Pengarang yang tanpa henti meredah resah dan gundah mendepangkan dadanya dan kebijaksanaan olah bahasanya tidak akan mengalah seterusnya beralih kepada dunia-dunia yang lain selain dunia sastera. Seorang pemimpin negara tidak dapat melupakan dunia sastera untuk menyampaikan amanat politiknya. Seorang teknokrat atau pakar gigi juga demikian apatah lagi dalam batin bertembung segala macam perihal kehidupan yang harus diluahkan. Kerana sastera adalah darah daging mereka. Tanpa manusia sastera bukan apa-apa tetapi tanpa pengarang manusia tidak mungkin mengenali babak-babak kehidupan yang penuh dengan kepelbagaiannya itu.

Lazimnya, dalam proses kreativiti seringkali mempelawa setiap peristiwa yang berlaku menjadi pengamatan dan penghayatan seseorang pengarang. Apakah setiap pengarang mampu menggerakkan instuisinya untuk menghayati setiap peristiwa dan menyusun kata-kata yang hebat untuk merumus kembali setiap peristiwa itu menjadi sebuah cerita yang cukup baik dan berkesan untuk dihayati dan diamati oleh pembaca? Atau pun si pengarang hanya mengarang seperti kerja seorang pengukir, yang hanya menyalin gambar bunga teratai ke meja atau kerusi? Fenomena ini menjadi kayu ukur untuk membicarakan cerpen ‘Paparan’ karya Siti Azizah Sahaji yang tersiar dalam Akhbar Harian Ekspress pada 15 September 2002.

Saya percaya cerpen ini telah dibaca, dihayati, dirumus dan dinilai oleh pembaca. Namun begitu sebelum perbincangan ini dimulakan ada beberapa pertanyaan yang ingin saya kemukakan sebagai bahan olahan mauduk kita. Bagaimanakah nilai sebuah cerpen yang baik dan tidak baik sebagai sebuah karya sastera. Apakah memadai apabila pengarang mampu menyediakan sebuah cerita yang menarik. Mungkin cerita yang menarik tidak menjadi penting sekiranya pengarang bijak memanipulasikan bahasanya yang indah. Atau apakah sebuah cerpen itu menjadi baik apabila dihidupkan oleh watak-watak dan perwatakan yang aneh-aneh dan luar biasa. Barangkali lebih memudahkan penerimaan pembaca sogokan segala-galanya secara lepas yang tidak memerlukan pembacaan kedua dan seterusnya. Saya akan menyentuh beberapa sudut penting cerpen ini iaitu pencitraan, amanat yang ingin disampaikan dan mengiatkannya dengan pembinaan estetika ataupun keindahan sesebuah karya.

'Paparan' adalah contoh sebuah cerpen mudah yang kurang mencabar pemikiran pembaca. Meskipun demikian tidak bermakna cerpen ini tidak memaparkan apa-apa tetapi ia tetap sarat dengan permasalahan,mesej dan amanat daripada konflik luaran hinggalah kepada konflik pokok. Cerpen ini tetap menarik kerana kebijaksanaan pengarangnya mengolah melalui gaya bahasa yang mudah di samping mewujudkan unsur-unsur suspens melalui imbas kembali yang berkesan.

Apakah permasalahan 'Paparan'? Paparan mencitrakan Ira seorang suri rumah dan juga seorang penulis cerpen dari Pantai Timur (Sandakan). Ira kecewa kerana sebuah cerpennya yang bertajuk ‘Kaca’ telah ditolak sebanyak dua kali oleh editor Bawah Bayu dan Dewan Berita dengan alasan cerpen tersebut mengandungi unsur-unsur lucah. Bayu, abang Ira menyampaikan berita penolakan ini melalui SMS. Ira berasa terlalu letih menyiapkan ‘Kaca’ dan penolakan cerpen itu telah mengganggu kosentrasinya menyiapkan sebuah lagi cerpen yang baru berjudul ‘Nur Eka’. Ira telah mencurahkan segala ilmu pengetahuannya untuk menyiapkan ‘Kaca’ yang telah diperapnya selama satu tahun. ‘Kaca’ adalah kisah benar dan garapan pengamatannya terhadap kesetiaan cinta seorang gadis yang kecundang kerana cinta. Padanya tiada niat sedikitpun mahu menampilkan cerita berunsur lucah atau cerita yang boleh merendahkan martabat kaum wanita.

Ira memberitahu abangnya Bayu bahawa bahan kreatifnya dalam ‘Kaca’ merupakan kisah seorang gadis yang Bayu kenali bernama Hayati. Hayati adalah adik angkat Bayu. Hayati gadis cantik yang berbakat besar pada tanggapan Bayu yang pernah mengasuhnya sebagai penulis skrip dan pelakon teater. Ira mengenali Hayati pun melalui kursus penulisan anjuran sebuah Persatuan Sastera di Kota Kinabalu dan kebetulan abangnya Bayu menjadi pembimbing. Hubungan Hayati dengan Bayu memang rapat sejak Bayu bertugas di Pantai Barat. Mereka tidak bertemu lagi selepas bengkel penulisan itu. Tiba-tiba mereka bersua semula di Pantai Timur (Sandakan). Hayati memerlukan rumah sewa untuk menenangkan fikirannya dan berusaha pula melupakan kekasihnya. Ia menceritakan panjang lebar kisah dan peristiwa kehidupannya. Hayati tidak mahu mengaibkan lelaki yang amat dikenali ramai dan bertugas di sebuah jabatan kerajaan. Bagi Ira lelaki itu tidak penting asalkan Hayati sedar dan ingin bertaubat di atas segala keterlanjurannya.

Selama lima bulan Ira tidak menemui Hayati selepas pertemuan mereka dan satu hari selepas Hayati menghubungi Ira meminta pertolongan, Ira mendapati Hayati hamil dan akan bersalin bila-bila masa. Ira menjadi bingung Hayati bersendirian kerana lelaki yang diharap-harapkannya tidak akan mengahwininya. Hayati telah dihantar ke hospital. Bagaimanapun Hayati dan anaknya meninggal. Pihak hospital gagal menyelamatkan Hayati kerana ketiadaan kad pranatal untuk memastikan keadaan kandungan serta kesihatannya. Hayati juga didapati kekurang darah, bayinya berkedudukan songsang di samping badan Hayati yang lemah kerana kekurangan gizi.

Ira ke apartmen sewaan Hayati dan menermui sebuah diari. Dalam diari itu tidak banyak membantunya kecuali catatan berikut: “Aku ke bank memeriksa wang kiriman yang dijanjikannya. Lima ribu ringgit untuk pengguguran! tidak mungkin! aku mencintai bayi ini sebagaimana aku mencintainya. Cukuplah dosa yang aku lakukan. Dengan wang ini aku akan membawa bayiku melihat sinar mentari”. Ira terharu kerana catatan itu menjelaskan betapa tidak bertanggungjawabnya lelaki terhadap Hayati yang terpaksa menanggung penderitaan seorang diri. Gagal mendapatkan maklumat, Ira ingin menghubungi rakan-rakan penulis yang mengenali Hayati atau Bayu abangnya tetapi Hayati pernah berpesan agar tidak memberitahu Bayu: “Terutama abang Bayu! Dia tidak boleh tahu di mana saya sekarang. Dia tidak boleh tahu apa masalah saya. Tolong kak! Kakak mesti berjanji tidak akan memberitahunya!” Ketika berada dalam bilik Hayati, Ira mengucap syukur kerana melihat sejadah menandakan Hayati tidak pernah meninggalkan solat lima waktu.

Mengenang peristiwa Hayati. Ira berasa beruntung memiliki Ardi sebagai seorang suami yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Ira kemudian mencari alamat keluarga Hayati. Ira diingatkan Ardi tentang telefon genggam Hayati dan dari telefon itu terungkai rahsia tentang lelaki yang bertanggungjawab terhadap diri Hayati. Siapakah lelaki itu? Saya percaya anda tahu siapakah lelaki yang dimaksudkan pengarang dan mengapakah lelaki itu menjadi sasaran jika bukan mesej SMS terakhir yang masih tersimpan di dalam telefon genggam Hayati berhubung dengan wang dan isu pengguguran bayi. Unsur visual yang digunakan pengarang cukup realistik. Suspens sebagai pola plot cerpen dan imbas kembali pertemuannya dengan Bayu dan Hayati sentiasa mengundang pertanyaan seterusnya mengajak rasa ingin tahu pembaca terhadap kesudahan cerpen ini.

Cerpen 'Paparan' menarik perhatian saya bukan disebabkan mesejnya yang ternyata lumrah di dalam gejolak masyarakat kita sejak dahulu lagi. Walaupun lumrah, ia tetap relevan dengan permasalahan yang semakin meruncing khsusnya di kalangan remaja yang kurang mendapat didikan agama. Bukan saja didikan agama tetapi juga penghayatan terhadap pendidikannya dipelajarinya. Walau tinggi mana sekalipun pendidikan seseorang nafsu dan godaan syaitan tidak akan memilih semua itu kecuali manusia telah menghayati sepenuh hati sehingga hanya iman sahaja yang mampu menjelmakan dirinya sebagai insan di bawah kebesaran Tuhan.

Saya ingin membawa langkah minda kita bersama menatap cerpen 'Paparan' terhadap pemeriannya, gaya bahasa dan visual yang mengajak pembaca ingin terus membaca. Pembaca yang tabah tidak mungkin berhenti menikmati hidangan sebuah karya sastera walaupun mungkin karya sastera itu membosankan. Tetapi bagi 'Paparan' ini tidak terjadi kerana berlaku sesuatu yang memang sengaja diperhitungkan menjadi rahsia yang akhirnya terbongkar.

'Paparan' menyajikan kita sekurang-kurangnya empat mesej oleh pengarang. Pertama pengarang ingin memperlihatkan bagaimana kecanggihan kehidupan masyarakat kita hari ini. Melalui telefon genggam mereka boleh berinteraksi. Telefon mudah alih ini juga memberikan mesej paling mudah tetapi tetap juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Kedua, sikap editor akhbar yang terlalu sempit terhadap karya-karya sastera dan penonjolan berita-berita sensasi akhbar terutama terhadap harga diri wanita. Ketiga, pengarang memerikan betapa ikatan kasih sayang amat penting dalam pembinaan sebuah keluarga. Kasih sayang juga telah memelihara kelangsungan kehidupan dengan tenteram, damai dan bahagia. Keempat, pemaparan pengarang mengenai manusia yang rakus, mementingkan diri sendiri dan tidak tanggungjawab.

Bagi sebuah cerpen tentulah amanat ataupun mesej yang sebanyak ini menjadi gangguan kepada para pembaca dengan persoalan mana satukah fokus utama pengarang. Namun pada saya fokus utama pengarang tentulah mengenai cerpen ‘Kaca’nya yang ditolak oleh dua media. Walaupun ‘Kaca’ merupakan hasil buah kreatif yang digarapnya berdasarkan kisah Hayati yang diperlakukan oleh lelaki yang tidak bertangugngjawab tetapi itulah yang sebenarnya. Pengarang mengakui sendiri bahawa:
“‘Kaca’ adalah sisi lain dari diri Hayati yang sentiasa membuatnya bermonolog dan berinnerlog. Semacam suara hati. Suara hati yang sentiasa menuntut kehidupan Hayati. Tapi satu hari Hayati telah meretakkan kaca itu. Retak oleh pelungku dosa yang bertopengkan cinta. Tapi kiranya kita … barangkali cerpen ‘Kaca’ itu harus betul-betul Ira retakkan bahkan kalau perlu Ira pecahkan sama sekali. Kerana ‘Kaca’ yang Ira suguhkan itu tidak layak dipanjang(kan). Tidak layak jadi tatapan para penatap. Tidak layak untuk tempat bercermin kerana bila ada orang yang mentap kaca tersebut khuatir orang itu akan nampak wajahnya yang sebenar.”

Saya tertanya-tanya mengapa pengarang tidak menjadikan ‘Kaca’ sebagai judul cerpen ini tetapi 'Paparan'. Mungkin saja 'Paparan' sesuai bagi pengarang kerana visual penggunaan telefon genggam yang memaparkan sesuatu seperti mesej ringkas pada paparannya. Paparan telefon genggam ini juga memaparkan waktu, nombor dan nama. Dan, rahsia yang terungkai dari telefon genggam ini mungkin mempengaruhi pengarang sehingga tidak ada tajuk lain yang lebih sesuai. ‘Kaca’ lebih tepat malah lebih metafora yang bermaksud ia lebih bernas dan baru serta lain tetapi juga akan memperindah sebagai sebuah karya yang ada kekuatan. Kekuatan sebuah karya turut dibantu oleh penggunaan metafora namun ada pembaca yang tidak menggemari metafora kerana antara metafora dan takmetafora masih jelas jurang pengertiannya. Misalnya ‘Kaca’ sebagai metafora bermakna pantulan kehidupan yang berlaku agar menjadi teladan tetapi kaca pada hemat takmetafora adalah kaca dalam pengertian harafiah sebenarnya. Bila memandang pada kaca kita akan melihat wajah kita dan tidak ada yang lain. Orang lupa bahawa metafora sebahagian dariapada sistem erti, berhubungan dengan proses pemaknaan dan dapat dimanipulasi untuk kepentingan pemaknaan. Barangkali apabila seseorang memandang cermin dia tidak saja memandang wajahnya tetapi memandang masa lalu dan masa depannya.

Begitulah juga hubungan kaca dengan cinta. Dua kata yang memiliki pisau makna yang tersendiri. Kaca boleh melihat wajah kita dan wajah masa lalu kehidupan itu. Cinta sebagai bunga yang berguguran (dalam konteks cerpen 'Paparan') - yang hanya boleh dirasai terlalu suci sehingga kesuciannya itu tidak dapat dinilai apabila berada di dalamnya. Namun manusia selalu menyalahkan cinta menjadi penyebab kemungkaran berlaku di dunia ini. Cinta dijadikan pakaian yang mudah dicomoti kotoran sedangkan kotoran itu adalah kejahilan si pemakainya, kecuaian penikmatnya dan kerakusan yang dibarai nafsu serakah. Ini dilihat secara metafora. Kita nampak kehalusannya meskipun secara implisit menuangkan makna yang berbagai-bagai, ambuigiti.

Sengaja membangkitkan betapa pentingnya metafora dalam berkarya kerana di situ wujud kehalusan yang sebenarnya dituntut. Umar Junus (Dewan Sastera:1971) menulis berbahasa adalah berkomunikasi secara sopan, patuh kepada etika dan pantang bahasa. Kesopanan berbahasa adalah penghindaran hal yang kotor. Kita berbicara tentang hal yang bersih, biasa dihubungkan dengan keindahan. Bahasa yang sopan adalah bahasa yang indah, keindahan bahasa. Pemakaian metafora dilihat dalam rangka keindahan bahasa terutama dalam pengertian estetika formal. Metafora digunakan untuk mengasilkan bahasa yang indah. ‘Sekuntum bunga’ yang metafora lebih indah daripada ‘seorang gadis’ yang takmetafora.

Memanglah munasabah bahawa dunia sastera – kemajuan dan kematangannya – adalah dunia yang hidup. Bahan-bahannya lebih diambil daripada kehidupan harian kita yang memang banyak dan sentiasa menghidangkan masalah yang takmetafora. Kita boleh berhenti selepas berjalan-jalan di pasaraya atau pasar ikan berbual-bual dengan beberapa watak harian, juga jika kita tidak berasa canggung bersantai di kedai minum mamak sisi berbual-bual dengan beberapa watak daripada laras yang lain pula, pasti kita dapat mengutip beberapa bahan menarik untuk karya kita sendiri yang metafora. Dialog harian dengan pelbagai lapisan masayarakat cepat menyediakan kita dengan bahan-bahan yang munasabah dan berjejak di bumi. Tetapi dari khalayak umum seperti itu tidakkah kita lebih didedahkan kepada sampah-sarap bahan saja? Tidak mengapa kerana sampah sarap pun masih mempunyai pengertian yang tersendiri yang tentu saja tidak menjadi karya sastera itu sebagai sampah sarap pembaca. Namun pengarang perlu lebih bertenang dan bijaksana daripada meradang dan takbur. Pengarang sepatutnya orang yang tenang hanya dengan begitu dia dapat menyaring peristiwa-peristiwa munasabah dan bermanfaat bagi masayarakat pembacanya. Pengarang juga tidak sepatutnya mudah meradang kerana dalam radangnya dia akan terdorong menulis sesuatu yang menyegankan.

Saya tidak tahu apakah cerpen 'Paparan' ini disiapkan dalam keadaan yang tergesa-gesa atau memang telah disiapkan sebegitu rapi berdasarkan disiplin yang turut dimuatkan pengarang ketika menghasilkan ‘Kaca’ dalam pencitraannya di mana ‘pengarang – Ira’ telah meminta beberapa anggota keluarganya atau sahabat terdekatnya membaca terlebih dahulu dan memberi komen atau tanggapan. Jika ada yang kurang, ‘pengarang – Ira’ dengan sabar akan memperbaikinya lagi sebelum dicetak semula. Secara menyeluruh saya merasakan bahawa cerpen ini sedang berusaha untuk menyampaikan sesuatu yang besar yang ada di dalam fikiran pengarang (yang takmetafora) samada dalam diri atau dalam batinnya. Ada sasaran tertentu yang ingin dicapainya. Namun semua ini tidak penting kerana apa yang jelas ialah cerpen ini memang sudah cukup kecuali beberapa perkara yang saya fikir wajar diambil perhatian pengarang ialah keseimbangan antara naratif monolog dengan dialog yang kelihatan bercelaru. (Rujuk teks cerpen bermula dari ayat: “Apa lagi yang boleh aku buat, bang?…” sehingga “Lalu abang bilang tak perlu hairan kerana fenomena seperti ini adalah tanda-tanda akhir zaman”). Itu satu.

Kedua, watak Bayu tidak banyak dilibatkan dalam konflik walaupun Bayu merupakan watak paling penting dalam cerpen ini. Kehadirannya hanyalah ketika Ira menerima SMS dan pemerian imbas kembali terhadap proses penciptaan ‘Kaca’ di samping kemunculan mesej terakhir untuk Hayati yang menjelaskan identiti ‘lelaki’ yang ada kaitan dengan kehidupan Hayati.

Ketiga, pemerian pengarang yang saya fikir tidak penting. Inilah yang dimaksudkan sampah sarap yang wajar diteliti daripada terjadi. Meskipun barangkali pengarang mempunyai misiyang yang tersendiri mengapa memuatkan sebuah pemerian demi ingin menyampaikan sebuat kritikan atau teguran kepada pihak-pihak tertentu. Peristiwa Ira memungut akabar “Bebas’ tidak akan mencacatkan cerpen 'Paparan' sekiranya pemerian itu ditiadakan. Setidak-tidakanya ada pemerian pengarang itu sebenarnya telah mengganggu kelancaran cerpen 'Paparan' itu sendiri. Ini saya fikir perlu diambil perhatian pengarang.

Sastera bukanlah suatu bentuk pengucapan yang emosional, yang tidak fungsional dan diluahkan begitu sahaja tanpa sebarang saringan. Sebaliknya sastera berupaya memberi sumbangan kepada manusia dengan pelbagai bentuk khazanah; di antara lainnya ialah pemikiran pengarang, cita-cita dan imaginasi, kebijaksanaan, simpati, majas yang indah dan puitis, yang ekspresif, yang penuh tuntutan etika duniawi dan kerohanian tetapi segala-gala itu hadir dengan secara halus dan tidak menggurui secara eksplisit atau polos.

Pengarang juga harus menerima realiti dan hakikat sastera sebagai pengalaman batin manusia yang diangkat dari kehidupan yang serba luas, dalam dan canggih. Dengan cirinya yang serba luas, dalam dan canggih itu pula maka pengarang harus juga berupaya memapar dan mengisinya dengan kehidupan yang luas, dalam dan canggih juga. Di sinilah baru ditemukan keseimbangan dan kewajaran bagi mencerna dan metrafasirkan kehidupan yang juga dituntut kehadiran citra kemanusiaan yang luhur, keimanan, kejujuran, realiti cinta kasih, kesetiaan, keadilan, kehalusan budi dan bukan kesenjangan, perjuangan hak asasi manusia dan bukannya penganiayaan dan pemerkosaan. Jadi, sastea yang kita hasilkan itu bukanlah sekadar hasil khayalan melulu yang tidak berjejak di jagatraya.

Secara umumnya, kita harus dapat menerima hakikat betapa karya sastera dalam apa jua genre sekalipun adalah sebahagaian dari kehidupan kebudayaan dan serentak merupakan peradaban umat manusia di jagatraya ini. Sastera tidaklah mempunyai ruang yang terbatas pada persoalan-persoalan yang subjektif atau berorientasikan pada persoalan-persoalan peribadi pengarang semata-mata. Ia haruslah secara pasti tentunya, berupaya mencakupi wadah yang luas terbentang; sekaligus merentas pandangan ke arah kehidupan yang pelbagai dimensi dan menyelurusi jauh untuk memasuki liku-liku kehidupan yang serba aneh, mencabar, komplikated dan canggih.

Pengarang sewajarnya berupaya menghasilkan karya sastera yang dapat memberikan pengalaman baru, makna baru bagi kehidupan masyarakat pembaca dengan sumbangan karya yang berupa serangkaian nilai murni dan positif yang pastinya baru dan segar bukan tidak mustahil belum pernah disogokkan oleh mana-mana bahagian dari kehidupan kita ataupun dari mana-mana bahagian karya kesenian yang lain. Kerana itulah, pengarang harus sentiasa peka terhadap setiap pergolakan dalam masyarakatnya , harus sentiasa berfikir secara kritis, rasional dan berupaya untuk menafsir setiap pergolakan itu dengan saksama dan penuh kebijaksanaan. Jestru itu, wajarlah para pengarang mengangkat dan malah harus sering membuktikan betapa sastera sebagai karya kemanusiaan selalu berusaha memaparkan pergulatan manusia itu sendiri melawan kemungkaran, menentang kesia-siaan, mendobrak keresahan, menyelongkar tipu helah manusia yang hipokrit, menangani penderitaan dan amat perlu pula merubah nasib insan bagi menentukan kelangsungan melalui jeraya kehidupan.

Walau kepada siapapun karya sastera itu ditujukan, tanpa mengambil kira khalayak sasarannya; sastera harus berupaya menampilkan dirinya sebagai pengungkap kehidupan yang dinamik, yang mempunyai riak dan gelombang, yang mengalir deras, penuh dengan konflik dan mengisi perjuangan ke arah suatu tahap yang lebih tinggi. Ia merupakan suatu sublimasi dalam proses kehidupan khalayak.

Pengarang melalui karya sasteranya, harus dapat membuka pintu dan jendela kemungkinan terciptanya daya rangsangan positif untuk khalayak merasakannya. Oleh itu, adalah wajar karya sastera itu mengandung dan kaya dengan pelbagai langgam pengukapan kehidupan yang berguna untuk memperkaya dan menjernihkan jiwa khalayak pembaca.

Sekiranya kita tekun meneliti dan menyelusuri khazanah sastera mancanegara akan ditemukan betapa dari sastera juga terserlah pelbagai falsafah dari manusia bergelar sasterawan. Falsafah itu sering pula menjadi pananda masa depan eranya. Jadi, dengan pemikiran-pemikiran yhang bernas itu sastera selalu menyumbangkan pelbagai manja hidup dengan kemungkinan-kemungkinannya, dengan nilai-nilai kebaruannya yang serentak mempunyai hikmah untuk direnungfikirkan. Sastera banyak memberi sumabngan yang bermakna dalam hidup kita. Dengan meneliti karya sastera bererti kita cuba memahami makna kehidupan itu sendiri yang dapat membina tatanilai dalam pelbagai kehidupan intelektual, pendidikan kerohanian dan hal-hal yang bersifat personal mahupun sosial.

Pengarang yang gigih memperjuangkan sikap dan falsafahnya akan mencapai tahap kematangannya yang tersendiri. Namun sebelum mencapai tingkat kematangan itu, pengarang harus berkemampuan mencipta karya yang bermutu dan ni merupakan hambatan malah tantangan pada kebanyakan pengarang. Kerana sesebuah cipta sastera yang bermutu itu haruslah sering mengemukakn pemikiran yang bernas, bersedia menampilkan subjek dengan pelbagai fenomena yang sekaligus menanganinya dengan baik untuk menemukan pemecahannya, tidak sahaja itu, malah segala fenomena dan peleraiannya haruslah pula ditampilkan dengan langgam dan pengucapan yang segar, yang baru, yang khas, yang jati diri dan ekspresif. Ia harus juga mengabdi kepada pencapaian hidup yang sejahtera lahir batin, memiliki keharmoian, rasional, penuh keadilan, tepu dengan nilai kemanusiaan dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai yang dituntut hadir dalam sesuatu lingkungan. Jadi sastera amat wajar menawarkan kepda kita hal-hal yang amat signifikan sehingga terbukannya daya emosi dan daya fikir kita, terdorong untuk berkreatif dan mampu menyediakan kita melihat kepelbagaian hidup untuk kemudiannya memungkin kita menghujahnya dengan penuh ceria.

Seorang pengarang itu haruslah seorang manusia yang benar-benar arif, yang sungguh-sungguh kaya dengan pengalaman dalaman dan luaran. Pengarang harus memiliki pengtahuan yang sungguh luas dan dalam tentang hidup dan kehidupan, harus mempunyai pertimbangan yang bijaksana, penghayatan yang dalam dan wawasan estetika yang tinggi serta ketrampilan berbahasa yang tidak diragukan lagi. Tidak mustahil pengarang itu seseorang yang memiliki gabungan multidisiplin yang unik – berbakat seni, cendekia, religius dan arif tentang hal kemasyarakatan.

Inilah kesimpulan saya terhadap 'Paparan' secara umum yang di samping mempunyai beberapa kelemahan yang disebutkan tetapi tetap mampu berdiri teguh dengan wujudnya bentuk pemerian yang dinamik dan hidup. Saya percaya kehadiran pengarang Siti Azizah Sahaji akan menambah satu lagi mutiara penting sebaris dengan para pengarang ternama di negeri ini dan Malaysia berdasarkan kegigihan beliau menghasilkan karya-karya sastera khususnya cerpen. Memang tidak ramai pengarang cerpen dari daerah Sandakan, tidak seperti tahun-tahun 70-an dan 80-an di era sastera kelihatan seperti bunga-bunga yang berkembang segar. Namun demikian, semarak sastera kita tetap tidak ada hentinya. Ia hanya memerlukan kegigihan, keberanian, ilmu dan kesinambungan berkarya. Jangan abaikan bakat yang ada di samping itu jangan biarkan waktu yang banyak terbuang begitu sahaja. Kita semarakkan pentas sastera kerana peranan kita tidak pernah kunjung selesai.

Kampung Tanjung Aru Baru,
Kota Kinabalu.
17 Oktober 2002

Tiada ulasan: