Rabu, Januari 30, 2008

SDC Sebuah Enigma

Koridor Pembangunan Sabah (SDC)- enigma kehidupan masa depan setiap lapisan warga negeri Sabah, bunyinya memang bakal menetaskan bibit-bibit fikir yang memberangsangkan walaupun penuh dengan muslihat dan teka-teki. Melalui tiga fasa yang digariskan Sabah bakal berada seiring dengan alun membangunan negeri-negeri lain di Negara ini. Bermula 29 Januari ini hingga menjelang 2025 bermakna selama 18 tahun usaha merealisasikan hasil pembangunan yang disediakan menjanjikan sesuatu kepada kita.

Kita faham bahawa paradigma pemerintah melalui pengwujudkan koridor pembangunan ini tiada lain daripada memberikan pembangunan yang lebih lebih drastik. Soalnya pembangunan yang bagaimana? Salah satu jawapannya lebih kepada pembangunan luaran. Kesan daripada apa yang dinamakan pembangunan luaran atau material ini telah memberikan impak yang mencabar masyarakat. Sistem perhubungan yang baik dan kemudahan prasarana teknologi terkini sebagai contoh, membantu memindahkan sikap serta sistem masyarakat kita. Budaya masyarakat sudah jauh berubah.

Kapasiti hidup lebih memihak kepada soal input bukan output yang saling bina membina atau memberi dan menerima secara saksama. Pemerintah lebih melihat soal jualan produk menerusi warisan dan inti budaya itu kepada soal-soal luaran. Kita tidak banyak bersiap siaga dengan kekuatan jiwa yang seharusnya diperteguh oleh kehebatan budaya yang kita miliki. Anak-anak kita sudah jarang memahami makna adat resam yang menjadi akar budaya sehingga bangsa kita kuat. Mereka jarang juga mengagumi perjuangan nenek moyang mereka dari sudut kejiwaan.

Mekanisma bawaan mereka masa kini tiada lain selain senjata ekonomi dan sains berbanding budaya yang sepatutnya menjadi benteng jiwa ketika berhadapan dengan pelbagai ancanam dan cabaran. Ilmu siasah sudah jauh diabaikan. Walaupun secara beretorik, para pemimpin membicarakan soal budaya di sana-sini tetapi sasaran mereka hanya kepada keuntungan sepihak, apakah masyarakat secara menyeluruh memahami apa yang mereka berikan, atau apakah sumbangan yang telah diberikan kepada mereka yang berhempas pulas mempertahankan keluhuran pemikiran menerusi bahasa, sastera dan seni yang asli. Berapakah angka dana yang boleh dijanjikan kepada penjanaan fikrah dan ilmu disalurkan ke arah keseimbangan menyeluruh untuk menikmati erti pembanguanan yang sebenarnya.

Saya masih ingat ketika Sabah Baru dianjurkan oleh kerajaan BN sedekad yang lalu, soal budaya, seni dan sastera masih berada di paras paling bawah. Tiada siapa dapat mengangkatnya ke tempat yang sewajarnya melainkan usaha yang ala kadar oleh mereka yang telah memperhamba pemikiran dan masa. Waima pemimpin yang memang mempunyai latar budaya sekali pun tidak dapat memberikan penjelasan di peringkat atasan betapa pentingnya penggalakan dilakukan kepada masyarakat yang berkaitan. Kita tidak dapat menjangkakan apakah menerusi Koridor Pembangunan Sabah ini juga akan memberikan perhatian kepada pembinaan sahsiah pemikiran masyarakat.

Dengan kuasa apakah juga para pengurus budaya dan sastera kita dapat maju jauh ke hadapan jika hanya berbekalkan aras pengalaman 'budaya dan sastera'nya, berbanding dengan kuasa yang ada pada pendukung politik yang juga membawa obor kuasa dalam menentukan sesuatu dasar yang bakal dilestarikan. Memang benar, bila menyebut fasa budaya gambaran orang-orang ini akan melihat dasar pelancongan yang lebih agresif, pembangunan akan diterjemah kepada sejumlah dana yang terjana. Akhrinya, kita akan melihat walau apa pun juga misi yang diperkenalkan sama ada di peringkat lokal ataupun nasional, soal budaya akan dilabelkan hanya sebagai alat mengaut keuntungan.

Budaya bukan apa-apa di kepala para penguasa. Sebuah retorik yang dipinjam untuk mengindahkan sebutan. Sejarah telah mengingatkan kita, lainlah jika apa yang saya fikirkan sekarang ini dikejutkan dengan sebuah pengumuman yang lain: )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.

Terima kasih.