Khamis, Januari 31, 2008

Mematangkan Pemimpin


Saya menghadiri majlis taklimat dan ceramah pilihan raya hari ini atas jemputan sebuah parti politik di Kota Kinabalu. Anda juga memahami pada setiap menjelang pilihan raya pelbagai agenda, aktiviti dan 'konsert politik' dianjurkan. Parti-parti politik mula membuka gelanggangnya, membina pentas dan mendekati rakyat. Bagi parti politik yang sifatnya rasional di mana para pemimpinnya menjadi wakil rakyat yang memang bekerja, gelanggang mereka memang selesa. Tetapi bagi sebahagian yang lain, gelanggang yang ada masa ini semakin dirasai sama ada mereka bakal berada di dalamya atau harus akur untuk brada di luar.

Kita percaya sesiapa pun yang telah diangkat sebagai pemimpin dan menggendong amanah tahu peranan masing-masing. Ada waktunya kita tersilap kata, terasa juga bahang... Kita akur tugas mereka berat dan besar. Namun pengalaman saya pada hari ini sedikit berbeza. Sebelum ini saya sering mendengar dikatakan orang-orang politik perlu matang, politik yang matang menjanjikan hasil yang terbaik dalam keadaan apa sekalipun. Tidak asyik menyalahkan pihak lain. Risikonya memang ada dan tidak dapat juga dielakkan untuk mengatakan pihak lawan begini dan begitu. Jika dirujuk kepada peraturan dan kerangka undang-undang Negara kita memang banyak elemen yang boleh menidakkan pengamal politik melakukan sesuatu sesuka hati, waima mengatakan si anu atau si polan itu mempunyai peribadi yang jelek sekalipun. Apatah lagi yang menyentuh langsung tentang perkara-perkara sensitif seperti adat, budaya, agama, bangsa dan seumpamanya.

Ini yang kadang-kadang mencemarkan aktiviti berpolitik di kalangan kita tanpa meletakkan kebenaran sebagai benar melainkan mahukan kehendaknya sentiasa dituruti. Saya geli hati (sama seperti apa yang Rem tulis dalam blognya) melihat rakan-rakan, teman-teman, sahabat-sahabat yang berjuang menerusi gelanggang politik. Jika menyertai parti pembangkang, apa yang mereka tahu hanya menidakkan sesuatu tanpa fakta yang betul, ada waktunya mereka tidak faham nawaitu sebagai pemimpin. Amanah yang mereka pikul sepatutnya tidak semata-mata kerana mereka bijak bercakap, petah berhujah, mampu berdiri di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau di mana-mana juga medan tetapi tidak faham apa yang telah dikatakan. Minda begini tidak pernah berubah. Kita tidak tahu sampai bila, apakah hanya dengan harapan dan doa sahaja cukup untuk melihat para pemimpin yang kita kagumi sehingga perlu memilihnya untuk membahagiakan serta memakmurkan kita. Perkara yang remeh-temeh dihebah hebohkan tetapi isu yang penting dipinggirkan.

Penilaian harus ada namun tidak semudah itu kerana pemimpin ditentukan oleh pemimpin tertinggi. Calon pilihan raya ditentukan oleh pengurusan atasan sesebuah parti politik bukan dicalonkan oleh rakyat. Apa pun juga, kita ingin memiliki pemimpin yang matang dan rakyat yang matang. Rakyat akan matang kerana dipimpin oleh pemimpin mereka yang matang. Dia harus mendidik rakyat bukan rakyat mendidik mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.

Terima kasih.