Tulislah buku. Bukan sekadar buku yang dipenuhi hikayat atau kata-kata manis berunsur motivasi murah. Tetapi buku yang sebenar-benarnya keluar dari kedalamanmu, yang lahir dari kelam, luka, bisu, dan sunyi. Buku yang apabila kamu menamatkan titik terakhirnya, kamu tidak jadi lebih lantang, tapi lebih tahu erti diam.
Di dalam hidup, ada fasa di mana kita pendam kerana tiada siapa yang benar-benar mahu mendengar dengan jiwa. Lalu segala yang terbuku, yang menggelora, yang meronta, menjadi batu di dada. Kita bawa ke mana-mana, berat dan senyap. Dan satu hari nanti, jika nasib baik, kau belajar menulis. Bukan untuk menunjuk. Tapi untuk meluahkan tanpa melukai. Untuk melepaskan tanpa menghapuskan.
Dan buku itu pun lahir. Ia tidak menjerit. Tidak memekik meminta simpati. Ia hanya hadir seperti senja yang tahu bila harus surut, seperti hujan yang tahu bila perlu reda. Kata-katanya tidak menghukum sesiapa, termasuk dirimu sendiri. Ia hanya menjadi saksi bahawa kamu pernah marah, pernah kecewa, pernah mahu hilang. Tapi kamu memilih untuk tinggal. Dan diam. Kerana diam bukan bererti kalah. Diam adalah tahap tertinggi dari penerimaan. Dan menulis adalah jambatan ke situ, jambatan dari pendam yang menyeksa ke diam yang membebaskan.
Jadi, tulislah buku yang merobah hidupmu. Bukan agar orang lain memahami. Tapi agar kamu sendiri tidak lagi perlu menjelaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.