Bukan mengambil tugas sesiapa
semulajadinya semua boleh tampil
sering apresiasi berkongsi citra
di sebalik lirik atau prosanya
menyingkap tingkap alam
martabat manusia
ketika bersuara siaga adab
menyantuni persoalan didakap
penuh wibawa
jika tercalar tetap sahaja bersahaja
diamnya diam pilihan
ketika marah marahnya juga
diadun bahasa pilihan
menegur dengan bahasa ilmu
bukan sasterawan jika marah
sambil menunjuk kelingking ke diri
ketika marah ada lirik tersulam
masih merdu jika disampaikan
kerana tugasnya biar disimpan
sementara tidak membazirkan perasaan
sasterawan zahir insan biasa
bezanya wibawa dan wawasannya
jarang diperiksa
penguasa hanya tahu setia
tanpa memahami maksudnya
awam hanya faham kebajikan
tanpa berusaha menyantun perjuangan
semua tersedia adalah jawapan
sasterawan menukilkan peristiwa
bertambah pukulan menimbang faham
lalu dikatakan pandangan sasterawan
tidak relevan
hingga harus berjuang dan berjurang
ketika sekumpulan bangun
di mana sang penguasa mengupayakan
sikapnya umpama lalang
menggadai semangat para pejuang
kemerdekaan sempit fikiran
tugasnya bukan mengumpulkan debu
yang bersepah di luar istana itu
sekadar memesan wibawa pemikir
berada di daerah terpencil
biarpun tidak memiliki gelar
atau terlahir dari menara ilmu
sasterawan berada di merata
di sawah atau di kebun getah
baik di gelora lautan di puncak
menggendung rezeki
di tapak pembinaan di perut kota
berjaja di tengah-tengah kesibukan
orang-orang yang memeras
dan memerlukan.
RupHA
19/10/2024
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.