Kepala segala musim semakin hampir
ke negeri kami. Bukan satu kesilapan apabila
menjadi kepala yang begitu sensitif tentang musim
besar ini. Segala kepala bergabung melawan para kepala
enggan berpaling.
ii./
Dua perkara pokok iaitu kuasa dan kuasa. Dua rahsia
kuasa direbut dan diribut. Kuasa membentangkan kemahuan
yang diperkasakan. Perubahan yang dipersembahkan
rekayasa pengaruh tanpa mengenal batas keharmonian.
iii./
Musim ini metodologi keramat ubah, kembali
dan bergema. Seperti pancaran kilat dan guruh
sesekali tiba dan menggemparkan.
iv./
Kata ubah tak ubah seperti mengunyah
gula-gula getah. Begitu sedapnya tidak sama
di penghujung. Gegak gempita bergema semula
meriuhkan negeri dan para kumpulan
dari bancuhan kitaran.
v./
Musim kali ini akan mendedahkan salah satu
yang menang dan tak menang. Selepas itu apakah
yang berubah? Manusia berubah kerana matlamatnya
mencairkan kebekuan fikir. Apakah akan berakhir?
Mungkir menyajikan pentafsiran
sambil yang benar sentiasa
diikat kemenangan.
vi./
Perubahan hanyalah alat motivasi, selagi manusia
terus beku, tanpa jitu nawaitu, rakus dan ditunggangi
rasa iri dan dendam, perubahan umpama angin
singgah di danau. Hanya singgah kemudian
kembali ke petualangan alam.
Sepanggar, 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.