Sabtu, Mei 02, 2009

Lidah Bangsa Ialah Bahasa


Fungsi lidah manusia selain untuk merasa adalah untuk berkata-kata. Lidah ialah alat yang penting yang membolehkan manusia berbahasa. Dalam masyarakat Melayu, lidah dirujuk sebagai bentuk dan cara berbahasa atau sikap individu dalam berbahasa seperti yang diperihalkan dalam ungkapan, kiasan, simpulan bahasa, dan peribahasa, antaranya termasuklah “lidah pendeta, “lidah pengarang”, “lidah Melayu”, “lidah bengkok”, “lidah kelu”, “lidah keras”, “lidah lembut”, “lidah manis”, “lidah masin”, “lidah panjang”, “lidah patah”, “lidah tajam”, “lidah tidak bertulang”, “patah lidah”, dan sebagainya.

“Lidah Terakhir” yang difokuskan oleh Dewan Bahasa, April 2009 merujuk kepada kepentingan bahasa sebagai warisan tak nyata yang harus dipulihara dan dipertahankan oleh masyarakat penutur dan pengguna bahasa, sama ada bahasa itu ialah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi ataupun bahasa ibunda.

Bahasa bukan sahaja wahana komunikasi, malah bahasa juga merupakan pancaran milieu dan citra masyarakat atau bangsa. Timbulnya kesedaran terhadap kepentingan bahasa sebagai khazanah masyarakat dan bangsa yang tidak ternilai, telah mendorong pertubuhan dan badan bahasa dari serata dunia, termasuk Malaysia untuk mengikhtiarkan usaha bagi menyuburkan kecintaan, penghayatan, kepunyaan, dan jati diri dalam kalangan masyarakat melalui pengiktirafan hari, minggu atau bulan khas berkaitan bahasa, seperti Hari Bahasa Sedunia, Hari Bahasa Ibunda, Minggu Bahasa, dan Bulan Bahasa.


Dalam hal ini, Malaysia telah menggerakkan usaha kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap bahasa, khususnya bahasa kebangsaan selama hampir 50 tahun melalui Minggu Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara.


Bahasa akan terus hidup subur sebagai ingatan kolektif, artifak dan arkib budaya dalam mandala sesuatu masyarakat atau bangsa melalui pemerkayaan dan perluasan tradisi kelisanan dan persuratan yang berterusan. Sebaliknya, sesuatu bahasa itu akan mengecil dan hilang andai kata masyarakat penuturnya atau penggunanya gagal memainkan peranan mereka.


Lidah Bangsa Ialah Bahasa

Ritah Yahaya


Dipetik daripada Majalah Dewan Bahasa
April 2009

~ Hasyuda Abadi ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.

Terima kasih.