|
|
PUTRAJAYA 6 Mac – Kerajaan komited untuk terus memperkembangkan kepentingan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun bahasa Inggeris diberi ruang dalam sistem pelajaran, kerajaan tidak akan berganjak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara pendidikan di negara ini.
‘‘Kita akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini.
Suka saya mengungkap kata-kata Pendeta Zaaba lebih 50 tahun yang lalu bahawa “patutlah bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah lagi bagi penggunaan yang lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula”.
‘‘Begitulah juga pujangga tersohor Melayu, Munsyi Abdullah telah membuktikan bagaimana perkembangan bahasa Melayu boleh dilaksanakan dengan tindakan proaktif beliau terhadap penggunaan teknologi percetakan yang berkembang maju di zamannya,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mutakhir ini perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merancakkan evolusi bahasa Melayu untuk memasuki alam siber.
Katanya, ini memberikan cabaran baru kepada masyarakat penuturnya termasuk untuk bersaing dengan bahasa-bahasa yang lebih dominan dan bersifat sejagat.
‘‘Dalam era ICT, bahasa Melayu seharusnya mengambil peluang daripada pembangunan K-ekonomi untuk turut menyediakan ruang pengetahuan yang cukup kepada masyarakat.
‘‘Bahasa Melayu perlu cukup utuh dan mantap untuk mengemudi masyarakat penuturnya agar bergerak seiring dengan arus pembangunan K-ekonomi dalam dunia yang semakin kompleks,” katanya.
Di persimpangan itu Najib menyatakan, bahasa Melayu diakui masih dianggap muda dari segi pengistilahan sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris.
Justeru beliau berkata, bagi memperkasakan bahasa Melayu, rakyat negara ini tidak seharusnya terlalu taksub sehingga menolak unsur-unsur daripada tamadun luar yang dapat membantu memperkayakan ilmu, teknologi dan kebudayaan.
‘‘Yang penting dalam menghadapi globalisasi ialah sikap dan pertimbangan rasional dalam memilih dan memutuskan perkara yang munasabah untuk dimanfaatkan, bukan menolak asas globalisasi secara melulu,” katanya
Dalam pada itu, beliau menyatakan, penguasaan bahasa asing tidak semestinya melunturkan jati diri dan keintelektualan seseorang.
Sebaliknya kata Najib, penguasaan bahasa asing akan melahirkan jati diri yang lebih utuh dan meningkatkan perasaan sayang kepada bangsa dan bahasanya.
‘‘Harus diingat, bahasa itu jiwa bangsa. Dalam konteks negara Malaysia, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya dilihat melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia yang mempunyai peranan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) boleh mengambil peluang memperkenalkan bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian di negara berkenaan melalui pakej pengeksportan ilmu dan kemahiran.
‘‘Selain itu, saya menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka serta syarikat-syarikat penerbitan di negara ini bekerjasama membekalkan bahan bacaan dan rujukan tentang pelbagai aspek tamadun Melayu, Malaysia dan bahkan ASEAN ke institusi terpilih di luar negara secara berterusan,” katanya.
Di dalam negara pula, Najib menekankan agar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengambil tanggungjawab serius memperkenalkan bahasa dan tamadun Melayu serta Malaysia dalam kurikulumnya.
‘‘Dalam Akta Pendidikan 1996, telah ditegaskan tiga kursus wajib yang mesti diajar di IPTS khususnya kepada pelajar asing iaitu bahasa Melayu, pengajian Malaysia dan agama atau moral.
‘‘Ini kerana dalam usaha kita mahu menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa, kita tetap mahu unsur-unsur teras tamadun kita diperkenalkan kepada pelajar antarabangsa terutamanya bahasa Melayu,” kata beliau.
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para peserta pertandingan pidato tersebut kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai subjek pilihan mereka.
Beliau turut berharap penganjuran program pidato tersebut dapat menjadi asas yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu bertaraf supra-nasional serta berkembang subur di mancanegara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.