Saya amat tertarik dengan cadangan ini malah sewajar dikuatkuasakan segera untuk membendung segala perbuatan yang menyalahi etika seluruh warga rakyat Malaysia dengan mengabaikan nilai serta rasa hormat terhadap jalur gemilang bendera kita. Perbuatan meletakkan kedudukan simbol negara melalui bendera negara dalam keadaan songsang sesungguhnya suatu perbuatan yang patut dikutuk. Memadailah mengibarkan bendera negara kita itu separuh tiang jika ingin menyatakan kesedihan dan sebagainya. Isu ini amat menarik dibincangkan bukan hanya apabila diberitahu wujudnya idea-idea yang dianggap 'kurang ajar' oleh Perdana Menteri, tetapi harus juga diterjemahkan lebih meluas lagi. Biasanya isu-isu yang membabitkan pandangan Perdana Menteri menjadi isu besar dan diberikan keutamaan serta liputan yang melebar.
Setiap tahun menjelangnya Bulan Kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia digalakkan untuk memasang bendera tidak kira bendera bersaiz besar atau kecil, diletakkan di premis masing-masing hinggalah kepada pemasangan di kenderaan. Ini merupakan suatu gerak semangat cintakan negara melalui bendera. Sejak lama saya mempunyai pandangan agar tindakan juga diberikan kepada individu yang tidak bertanggungjawab terhadap jalur gemilang termasuklah bendera-bendera kecil yang dipasang di kenderaan jatuh bertempiaran di jalan raya. Semangat cintakan negara tentu sahaja tidak hanya kepada berkobarnya semangat mengibarkan bendera yang sudah menjadi amalan setiap tahun tetapi mengabaikan cara menghormati lambang teragung berkenaan harus juga diambil perhatian.
Apakah anda sanggup melihat bendera tersebut 'diletakkan' (akibat kecuaian yang tidak disengajakan) di atas jalan raya yang digelek kereta hingga seakan-akan ia suatu amalan yang sama apabila benda-benda lain seperti sampah gugur dari kenderaan anda? Dan ini tidak pernah ditimbulkan sebagai isu oleh sesiapapun walaupun pihak yang berwajib. Misalnya tidak lagi membenarkan mengibarkan bendera bersaiz kecil di atas kereta kerana dikhuatiri tidak dapat menjaga kehormatan bendera berkenaan. Begitu juga amalan sesetengah rakyat mejadikan bendera sebagai baju, topi bahkah replika kek dan sebagainya. Berbeza tentunya jika Perdana Menteri sendiri berkata sesuatu tentangnya.
Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.