SEPERTI negeri-negeri lain di Semenanjung atau Sarawak, para penulis veteran negeri di bawah bayu Sabah juga banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan sastera dan bahasa kebangsaan. Ada kalangan mereka yang memang tersohor dengan maudu masing-masing dan tidak kurang yang tercorot jauh ditelan zaman.
Generasi sekarang tentu akan bertanya, siapakah mereka ini? Apakah sumbangan mereka? Apakah sumbangan mereka dapat mengatasi sumbangan tokoh-tokoh politik atau orang-orang ternama yang lain? Malah lebih hiba apabila tokoh-tokoh ini dengan rasa rendah diri mengakui kedaifan mereka: Siapalah kami, sasterawan yang daif dan tercorot ditenggelami arus masa, pembangunan dan perubahan pemikiran masyarakat canggih!
Hakikatnya, mereka pernah berbakti. Mereka pernah melahirkan karya-karya kreatif yang terbaik, seperti novel, cerpen dan puisi di samping tulisan-tulisan yang membangkitkan kesedaran rakyat terhadap kemakmuran, jerih perih kehidupan sezaman dan ledakan kesedaran terhadap kebebasan negeri mereka daripada ancaman penjajah dan musuh negara. Mereka adalah peneroka zaman, perakam sejarah, dan penyimpan khazanah budaya yang tak lapuk ditelan zaman. Kepada merekalah sumber kita merujuk.
Sejak sebelum merdeka tokoh-tokoh sasterawan ini sudah berjasa dengan menghasilkan tulisan-tulisan yang besar. Misalnya, K.Bali yang telah berhijrah ke Sabah 40 tahun yang lalu semasa menyertai rombongan Bangsawan Booty Surya, terus menulis hingga ke hari ini. Begitu juga sasterawan-sasterawan lain yang lebih muda darinya seperti Haji Shuhaibun Yussof, Ismail Abbas (Amil Jaya), Hajah Dayang Salmah Salam, Haji Harun Haji Salleh, Haji Saidi Lampoh (S.Mala), M.A, Rahman, Datuk Haji Halik K.Zaman (Ahzam Sabah) dan Datuk Jamdin Buyong (sekadar menyebut beberapa nama).
Mereka banyak mendapat perangsang dan tunjuk ajar K.Bali. Sehinggalah K.Bali kembali ke negeri asalnya Kelantan, tidak ada sesuatu diberikan kepadanya kecuali nostalgia untuknya. K.Bali hidup bersendirian, menjalankan perniagaan kedai runcit dan surat khabar di samping menulis novel dan cerpen untuk sayembara.
Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang menaungi puluhan penulis dari golongan anak-anak muda merasakan tarikan tanggungjawab ini terhadap para sasterawan lama dan tersohor itu. K.Bali pada hari-hari terakhir di Sabah begitu intim dengan IPS terutama sekali Ketua Satunya, Jasni Matlani. Pemergian K.Bali memang sukar dicari ganti melainkan karya-karya beliau yang akan ditatapi apabila beliau menghantar ke media massa, baik nasional mahupun tempatan. Bagi generasi hari ini yang menyedari ketiadaan K.Bali amat dirasai. Beliau adalah bapak kepada dunia persuratan di Sabah. Dan dengan pernyataan ini sesuatu harus dilakukan bagi mengenang beliau.
Selain K.Bali, ramai penulis veteran yang perlu diakrabi dan sebilangan kecil sudah dikenalpasti. Ini memudahkan IPS mengenal dan mengenang sumbangan mereka. Besarnya sumbangan mereka terhadap perkembangan sastera, bahasa dan budaya sudah tentu tidak dibiarkan begitu sahaja.
Usaha Haji Shuhaibun yang menghimpun sejumlah besar khazanah budaya dan sastera yang berguna di rumahnya seharusnya mendapat perhatian yang utama oleh pihak-pihak yang bersangkutan. Barangkali kita hanya tahu menyatakan rasa gembira mendengar kehebatan Haji Shuhaibun. apatah lagi pelawaan beliau kepada seluruh penulis, pelajar dan pengkaji datang membuat telaahan dan kajian di rumahnya tanpa mengeluarkan satu senpun sebagai biaya termasuk makan minum. Sudah banyak kali disuarakan agar khaznah Shuhaibun Yussof ini ditempatkan dalam sebuah bangunan yang lebih selesa dan sesuai. Namun, siapakah yang akan menanganinya? Siapakah yang akan memulakan, misalnya mengumpul dana untuk mendapatkan sebuah bangunan untuk dijadikan pusat dokumentasi seperti gahnya Pusat Dokumentasi H.B. Jasin di Taman Ismail Marzuki, Jakarta.
Dan seperti biasa, tidak banyak usaha dilakukan. Jika ada, ia lebih bersifat umum, bermusim dan acuh tak acuh. Apakah peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dalam menangani ? Apakah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri (KKBS) mempunyai perancangannya yang tersendiri dalam memelihara keunikan budaya masyarakat kita? Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) pula, sebagai sebuah badan yang asalnya menjadi payung kepada para sasterawan, penulis dan persatuan-persatuan penulis di negeri ini, tidak ada bayangan yang pasti, melainkan melahirkan harapan yang tinggi, seperti tingginya puncak Kinabalu. Barangkali DBP tidak mampu dan tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya di bahu badan ini. Begitu juga KKBS . Bagaimana pula dengan MBSS yang dikatakan mempunyai dana yang besar dan mendapat sokongan kerajaan negeri?
Jika ada usaha, sudah lama para sasterawan ini mendapat gelaran tertinggi bintang kebesaran negeri, misalnya. Barangkali, bukan bintang kebesaran yang menjadi idaman tokoh-tokoh ini dan bagi generasi hari ini, menghargai mereka tidak semata-mata berbangga dengan gelaran kebesaran tetapi yang lebih penting ialah menghargai sumbangan mereka.
Isu ini sudah banyak kali diperkatakan dan menjadi perbalahan beberapa pihak yang turut memberi kesan kepada perkembangan sastera mutakhir di negeri ini. Dalam Dialog Penulis yang dianjurkan oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada 26 April yang lalu sekali lagi isu ini dibangkitkan. Baik buruk polimik, pandangan, teguran antara pihak-pihak berkenaan seharusnya diambil iktibar dan melakukan sesuatu. Sebaliknya, bukan membiarkan pandangan, idea, teguran dan seumpamanya itu berlalu begitu sahaja, seperti menepis lalat di muka. Seharus kita mempunyai iltizam yang kukuh dan tinggi ketika menangani sesuatu perkara penting. Apakah apabila kita ingin memperkatakan sesuatu mengenai budaya, sastera, bahasa dan isu-isu yang berkaitan dengannya seperti soal-soal penghargaan penulis, penerbitan karya-karya penulis tempatan itu tidak penting? Tidak ada jawapan yang konkrit akan kita dengar. Dan para penulis di Sabah lebih ramai yang memencilkan diri mereka, meninggalkan beberapa orang rakan mereka yang kini masih memperjuangkan sesuatu. Memperjuangkan sesuatu demi memelihara martabat, taraf para sasterawan hari ini dan tokoh-tokoh yang lahir di masa akan datang.
Usaha IPS yang diterajui oleh para penulis angkatan muda, yang lantang menyuarakan perkara ini dengan harapan mendapat perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib, semestinya mendapat sanjungan. Namun yang lebih penting hasil dari dialog ini, IPS akan menganjurkan Malam Nostalgia Sasterawan Sabah yang kedua pada 16 Mei ini. Majlis yang pernah diadakan di Hotel Berjaya Palace tahun 1997 akan bersambung pula di Hayati Villa, Petagas, Kota Kinabalu dengan bentuk dan format baru. Tidak ada VIP. Tidak ada majlis perasmian dan penutupan.
Sudah tentu usaha IPS tidak dapat dilaksanakan tanpa bantuan pihak-pihak tertentu sama ada secara perkumpulan mahupun sokongan individu. Pengorbanan dan sifat dermawan beberapa pihak sesungguhnya akan merealisasikan apa sahaja yang kita impikan. Dan inilah idealisme IPS - bekerja, berusaha dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Lima orang tokoh sasterawan negeri Sabah telah dikenalpasti dan layak telah dipilih menjadi tetamu utama majlis tersebut. Antara mereka termasuklah K.Bali yang baru sahaja diraikan sempena kepulangan beliau ke tanah kelahirannya. Tokoh lain masih dirahsiakan oleh pihak penganjur. Mereka akan menerima wang tunai sebanyak RM 500.00 setiap seorang di samping beberapa cenderahati yang disumbangkan oleh seorang penulis veteran dan kini merupakan seorang usahawan terkenal di Negeri Sabah.
Jumlah wang ringgit yang diberikan dan hadiah-hadiah yang tidak seberapa besarnya ini tentu tidak setanding dengan sumbangan yang mereka telah taburkan dan kegigihan yang mereka telah buktikan. Sejarah telah tercatat bahawa ada kalangan tokoh-tokoh sastera ini berjuang dan pernah dipenjarakan semasa penjajahan British, semata-mata untuk membicarakan kebenaran. Sesungguhnya, hala tuju, corak pemikiran mereka dan gaya penulisan merekalah yang harus dicontohi dan menjadi ikutan generasi hari ini selain menghormati dan menghargai mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.