Buat sahabat penyair dan pemimpin kita, sebuah puisi yang ditulis pada 2010 ketika perjalanan saya dan isteri dari Membakut ke Tenom. Saya memandu dan mengungkapkan sambil isteri mencatatkan setiap diksi spontan. Inilah hasilnya. (Mungkin anda pernah membaca tetapi sesuai dengan situasi masa ini, saya suka memaparkannya semula)
GIZI ZAMAN
- Dedikasi: Datuk Haji Mohd Ariffin Arif
hidup bagai pucuk-pucuk awan
saat terbentang matahari
namanya mula bergema alif
Membakut disebut arif
arif didendang alif
biar dondangan ini merakyat
mengakrab ariffin
yang jernih mengalir
menjunjung khalifah bumi
alif di hadapan berkumandang
nikmat yang telah tumbuh wira
yang resahnya di jiwa baktinya
merujuk dambaan berkurun
abrar dijanjikan Tuhan
makmur madani memaknakan arif
pada alif yang arif
di sebut alif pada arif
demikian terpandang gizi zaman
mula terbelah sukma
telah bermula rukun kehidupan
mahmudah memartabat mahabah.
Membakut-Sipitang-Tenom
31 Disember 2010