Kupi2 di Putatan bersama dua guru kami. Walaupun jarak antara RupHA dan Putatan memakan masa 1 jam kami terpanggil yang Datuk Hj Jamdin ingin bertemu terutama dengan sahabat saya Abd Naddin. Rupanya ada sesuatu - pertama mengenai Hari Sastera lalu dan kedua ole-ole mengenai sejarah Putatan. Orang Putatan kena tahu ni, katanya. Sambil bercerita juga sejarah Hari Sastera ke-2 yang beliau bersama Datuk Hj Hussain Kasau terlibat pada tahun 1973. Sungguh nostalgia sekali kerana peristiwa 5 dekad itu telah disertai Tun Datu Mustapha, wakil Presiden Indonesia Tun Adam Malik, Menteri Luar Tan Sri Ghazali Shafie, Prof Ismail Hussein, Tun Sambathan,Datuk Mohd Asri Haji Muda, Datuk Dzulkifli Abdul Hamid, Abdullah Hussain, Arena Wati, S Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Jins Shamsuddin,dan ramai lagi tokoh sastera. Masa itu juga Tun Datu Mustapha menghadiahkan bantuan untuk peraduan menulis novel Gapena-Yayasan Sabah. Sepatutnya Datuk Hussain antara yang masih ada diberikan anugerah sebagaimana ditetima Datuk Jamdin. Biarlah dulu ini peristiwa telah berlalu, tetapi baru terfikir mengapa tidak diberikan ruang kepada Datuk Jamdin menyampaikan sejarah penting Hari Sastera kedua yang diadakan di Pantai Tg Aru 50 tahun sudah. Opps! Peristiwa ini juga sudah berlalu, hanya jadi cerita di kedai soto saja. Dulu kata Datuk Hussain, Hari Sastera mengangkat sastera terkait kepada pengisian 10 tahun kemerdekaan. Sekarang tentulah lain - dinamika sastera kebangsaan yang tidak kunjung selesai. Datuk Jamdin menghadiahkan 3 buah bukunya Novelnya untuk saya agihkan kepada kawan-kawan. Semoga kedua-dua tokoh ini diberkati jasa baik mereka kepada gerakan sastera di Sabah.
Khamis, Oktober 05, 2023
Catatan Kecil di Putatan

Rabu, Oktober 04, 2023
Mencari persamaan dan perbezaan masa lalu
Menoleh
ke belakang sering mengajak kita memandang semula sesuatu yang barangkali
memang ingin dilupakan walaupun sebenarnya tidak demikian. Bahkan masa lalu itu
menjadi igauan-igauan untuk datang kembali ke sana. Dengan pertanyaan bahawa
pernahkan kita berfikir tentang masa
itu, masa lalu atau beberapa hari yang lalu? Beberapa hari yang telah berlalu
dengan seribu satu peristiwa, kenangan, kemenangan, suka dan duka. Meski
mustahil untuk memanggilnya semula, hari-hari yang lalu itu sentiasa memberikan
nilainya sendiri. Pengalaman sesungguhnya amat mahal dan untuk membezakan
antara insan dengan yang lain inilah iaitu pengalaman. Pengalaman itu pengisian
hari-hari yang mungkin biasa, luar biasa dan tanpa disedari tentang masa lalu
yang bermakna.
Sesiapa
sahaja memiliki pengalaman dan penyair amat mencintainya. Seorang penyair
sentiasa merakamkan peristiwa-peristiwa masa sudahnya, masa sudah orang lain
atau mereka yang akrab dengannya. Dia berkisah dalam bait-bait peristiwa
kemudian diperindah oleh keelokan bahasa, teknik pelukisan serta penulisan yang
berwibawa.
Beberapa
hari yang lalu telah mengajar tentang hijrah. Suatu perpindahan ke arah kelebih
baikan untuk kehidupan. Memilih jalan yang diyakini benar daripada segala
kemungkinan-kemungkinan yang benar. Beberapa hari yang lalu menerima berita
tentang banjir di kampung halaman yang menyuntik ingin sekali menyedut air yang
tengah membuak-buak menenggelamkam kawasan rendah, ia bertahan beberapa lama
kerana tiada jalan keluar hingga menyebabkan kesulitan warganya. Saat ini
keperluan untuk menepuk belakang para pembesar agar turun tanah semakin membuak
rasa setelah membara sekian lama. Barangkali beberapa hari yang lalu menerima
berita gembira kerana permohonan pembelian kereta telah diluluskan pihak bank
tetapi pada masa yang sama memikirkan juga bertambahnya hutang. Beberapa hari yang sama
sekaligus menggembirakan apabila menerima cahaya mata baru dalam bulan Muharam
malah sekaligus kelahiran cucu pertama dalam keluarga. Kegembiraan berganda setelah ditawarkan sebagai
penerima bintang kebesaran kerana perkhidmatan yang lama dan cemerlang. Beberapa
hari yang lalu juga dicerca merbakan oleh isu-isu yang meragam mengangkat
menara geram. Orang lain gembira menyambut kemenangan sedangkan orang lain yang
berjuang untuknya mula menyumbangkan jurang dendam. Beberapa yang lalu itu juga
apa yang kita mahukan tidak menjadi, mahu kita tidak mungkin sama dengan mahu
orang, apatah lagi buat yang berkuasa.
Beberapa
yang lalu ramai orang begitu taksub memperkatakan masa depan politik yang
semakin dicabar dan tercabar. Mereka bangun semata-mata politik, melihat
kemakmuran rakyat hanyalah retorik tetapi tidak jelas. Politik terus berada di
mana-mana ceruk rantau rimba, desa dan kota, di kantor, di menara gading, di
tengah sawah dan ketika lautan banjir menenggelamkan tanaman dan membunuh
haiwan ternakan. Beberapa hari yang lalu juga meraikan kemenangan penghiburan
tempatan dari daerah yang terpencil sambil pada masa yang sama keriuhan kerana
geram dengan pengkritik yang hilang pedoman, akal yang nakal tetapi lebih
menanam geram.
Beberapa
hari yang lalu tentang dunia yang terus ribut dan retak, terus dibumbui rentak
muzika hantu dan citra tahayul di tengah keseronokan manusia menontonnya.
Apakah sudah tidak ada wacana yang lebih membina minda, membangunkan citra
bangsa yang lebih menjanjikan kekuatan untuk negara bangsanya? Atau barangkali
segala yang ada sudah cukup menjelaskan bahawa dunia telah ketandusan
keindahan. Retoriknya kepada ciptaan yang mengkhayalkan, manusia begitu senang
menerima suntikan candu hiburan hingga ramai yang alpa dan tidak berfikir untuk
apa sesebuah citra yang memabukkan itu disogokkan kepada anak-anak bangsanya
yang kian lemah kerana terlalu lemah oleh kebendaan dan janji-janji serta
habuan wang ringgit hingga nilai perjuangan telah hanyut jauh menanggalkan jati
diri yang dipertahankan berzaman.
Seorang
penyair terus merakam hari-hari indah dan tidak indah, tentang beberapa hari
yang lalu yang tidak mungkin berhenti meninggalkan sesuatu berupa peristiwa.
Bahkan masa hadapan itu sebentar lagi akan menjadi beberapa hari yang baru,
akan berlalu dan dia terus juga menceritakan indah dan tidak indahnya. Biasa
bagi orang lain tetapi luar biasa baginya. Masa berjalan tanpa berhenti, manusia
mencari tanpa henti sesuatu yang boleh sahaja menggembirakannya dan boleh jadi
mendukacitakannya. Hari-hari yang menjadi beberapa peristiwa dirakam dan
dicatatkan, diperindahkan, dinukilkan menjadi citra yang mencabar minda sebagai
penghayatan kebenaran, penghayatan kebobrokan, penghayatan kerakusan, tamak
haloba tanpa titik selagi manusia berfikir dan menjadikan fikirannya benar,
jujur atau sebaliknya menjadikan fikirannya sebagai anjakan untuk mencapai
impian dengan cara yang kurang tepat. Atau barangkali itulah takat kemampuan
yang dipunyainya dan dia berjuang untuk itu.
Sesungguhnya
beberapa hari yang lalu itu berharga emas jika kita benar-benar waras dan
berawas daripada fikiran-fikiran yang tidak bernas. Apa pun peristiwa mempunyai
wibawanya dalam keadaan yang indah dan sebaliknya. Beberapa hari yang lalu tak
pernah berlalu selagi manusia penyair ada dan asas fikiran untuknya wujud.
Dengan harapan akan ada pertemuan dan penemuan di hari-hari yang lain,
bersiagalah untuk menyiapkan diri, fikiran dan suasana agar kesiap siagaan itu
menjadi kekuatan dalam berhadapan dengan keadaan yang baru atau lebih baru.
Dengan harapan akan kembali menyentuh peristiwa yang sama walaupun dalam masa
yang lain seperti kata orang-orang pandai bahawa yang membuat kita berbeza
tiada kecuali dua iaitu buku yang dibaca dan orang yang berada di sekelilingmu.
Jika pun dengan orang yang sama kita akan melihat beberapa perbezaannya.