Biar gambar berbicara.
Sabtu, Ogos 15, 2015
Penulis alergik kritik!
PENULIS dan pengarang harus bersabar jika merasakan menjadi
penulis atau selepas itu pengarang yang disegani tidak melalui cabaran yang
tersendiri, berbanding menukar haluan. Misalnya menjadi ahli politik, atau
tukang masak, meniaga buku atau buat kek. Apa bezanya, bukankah di sana-sini
juga ada cabaran? Penulis dan pengarang tidak dapat lari daripada hal-hal
berkaitan rempah ratus kepengarangan. Kita memang mahu apa yang kita buat
dibaca orang. Tetapi bukan semua orang suka apa yang kita buat. Bagaimanapun
ini bukan hadangan. Jika anda fikir menulis ini sekadar menulis tanpa mengikuti
pandangan orang lain, misalnya penilai, pembimbing atau teman-teman, tiada juga
masalahnya.
Saya pernah terjumpa seorang sahabat yang 'tewas' meneruskan projek penulisannya semata-mata tidak bersetuju karyanya dirombak pembimbingnya. Peristiwa ini berlaku sedekad yang lalu. Sahabat saya ini tidak lagi menulis sampai sekarang padahal beliau pernah menerima Hadiah Sastera Sabah, cerpen-cerpennya juga bagus sekali dan amat prolifik ketika itu. Apabila novelnya dirombak habis, katanya,baik dia tidak tulis langsung. Saya suka ketegasannya itu dan memang tidak wajar juga tindakan pembimbing tanpa membuat perbincangan terlebih dahulu.
Berlaku juga dalam
sebuah peraduan, seorang penulis menang sayembara menulis novel, bila hendak
diterbitkan, novel itu terpaksa dibaiki. Apabila terbit orang tidak tahu novel
itu bukanlah karya asli penulisnya. Saya ingat nama novel itu tapi tidak
perlulah disebut. Begitu juga nama pengarangnya yang masih aktif hingga kini
malah menjadi penggiat aktif NGO sastera di Sabah. Beracam-macam ada, jika mahu
diceritakan. Misalnya jika saya bagi tahu ada juga pengarang terkenal yang
menyunting karya popular bernafas erotik. Memang tidak wajar kan? Saya fikir
kepelbagaian cabaran harus diharungi. Mungkin ada dalam kalangan kita suka pada
cabaran. Cabaran itu sahabat yang baik. Tidak mustahil juga segelintir penulis
yang tidak sukakan cabaran. Ada penulis yang tidak senang apabila karyanya
dikritik. Belum lagi dirinya sebagai penulis dikritik! Saya juga pernah dan
sering tersentak apabila dikritik. Ini lumrah.
Realitinya kita masih lemah. Kita berusaha untuk memperbaiki.
Kekuatan mental kita perlu. Selalunya saya abaikan sahaja sebab saya tahu ada
penulis lain yang gemar buat provokasi. Kita ini lemah, banyak yang perlu
dipelajari. Saya selalu ingatkan diri saya agar jangan pernah mengalah. Kita
buat sahaja. Apabila ada yang memperkatakan buah fikiran kita dan
mempertikaikannya pula, hadapilah dengan sabar. Bahkan kita berhak
mempertahankan kerana karya itu kita punya. Orang boleh bagi pandangan dan kita
juga boleh bagi pandangan kita. Tiada dosanya juga. Lainlah niat kita
menyimpang, misalnya ingin menghasut atau menabur fitnah atau
memburuk-burukkannya.
Barangkali elok juga kita sama-sama
ikut catantan kali ini sedikit sebanyak tentang kritikan yang tidak ramai
gemari terutama yang alergi kritik. Mereka tidak mahu untuk dikritik, ini salah
siapa? Hal ini disebabkan juga sering seorang kritikus bertindak sebagai
algojo. Kritik yang dilontarkan sering bersifat rekayasa dan subjektif. Apalagi
dalam perkembangan dunia seni sekarang, ada kalanya juga kritikus tidak
mengikuti lajunya arus perkembangan dunia seni, yang kenyataannya sudah semakin
mengglobal. Akhirnya sering terlihat seniman sebagai seorang yang diletakkan
sebagai terdakwa.
Berdasarkan kasus tersebut, ternyata
ramai seniman mati di tengah jalan. Gejala ini sangat merugikan pertumbuhan
kreativiti seniman dan perkembangan kesenian di tengah-tengah masyarakat
pendukungnya. Untuk itu dalam tulisan ini akan dipaparkan pendekatan terhadap kritik seni dari berbagai
sisi, seperti kritik sebagai penilaian atas nilai, sebagai media informasi, motivasi
dan kritik sebagai tolak ukur, yang pada gilirannya dapat membantu kelancaran
pertumbuhan seni pada masa datang.
Sebagai sebuah kritik yang
difungsikan untuk menilai suatu nilai seni dari objek kritikan, banyak hal yang
harus diperhatikan. Dari masalah teknik dan tidak teknik serta unsur penunjang
dari objek kritikan yang mendalam, penilaiannya perlu diketahui dan difahami
oleh seorang pengkritik dalam melancarkan kritikannya.
Memang menilai sebuah nilai seni
tidak semudah menilai "dua tambah dua sama dengan empat”. Nilai di sini
ibarat sesuatu yang tersembunyi di balik hijab. Ia lebih merupakan sesuatu yang
bersifat abstrak yang terjadi dalam sebuah karya seni. Kita tidak langsung
dapat mengatakan bahawa pertunjukan sebuah tari tersebut mengalami kegagalan,
dengan kata lain kurang dapat memprojeksikan konsepnya ke dalam sebuah
koreografi atau sebuah konsep bunyi yang diprojeksikan dalam aplikasi komposisi
muzik.
Menurut Kwant (1975: 19): Kerana berkisar pada nilai-nilai, maka
kepekaan terhadap nilai harus memegang peranan pokok dalam kritik. Kalau
kepekaan terhadap nilai itu tidak ada, kritik menjadi tanpa hormat. Orang yang
mampu memberikan kritik seni hanyalah dia, yang peka terhadap nilai-nilai
artistik yang ada dalam sebuah karya seni.
Dalam memberikan penilaian ada
hal-hal tertentu yang perlu diperhatikan iaitu seperti aspek teknik dan tidak teknik.
Kedua aspek ini sangat menentukan seorang kritikus dalam melancarkan
kritikannya. Yang dikatakan aspek teknik adalah hal-hal pokok dalam sebuah
karya seni. Hal-hal yang pokok tersebut misalnya untuk seni tari adalah penari,
pemuzik, alat muzik pencahayaan, komposisi, kostum, rias dan koreografi tari
secara menyeluruh seperti: desain lantai, desain atas, ruang, dinamik,
dramatik, dan transisi, kemudian ‘property’ dan ‘setting’. Kedua, untuk muzik
adalah pemuzik, alat muzik, melodi, ritem, dan komposisi muzik yang dimainkan,
desain dinamik, dramatik, dan harmoni.
Ketiga, untuk teater adalah pemain (aktor dan aktris), pencahayaan, dialog,
bloking, kostum dan rias, mimik atau ekspresi, akting, alur cerita yang
didesain, terakhir ‘property‘ dan ‘setting’. Dan, keempat, untuk seni rupa (tidak
pertunjukan) seperti : jenis cat, jenis kampas, jenis kuas, komposisi
ruang, komposisi warna, arah dan dimensi, teknik projeksi.
Dalam aspek tidak teknik kita lebih
banyak berbicara secara ekstrinsik dari sebuah karya seni. Hal-hal yang
bersifat ekstrinsik perlu dipertimbangkan, sebab aspek ini sangat terkait
dengan keberhasilan sebuah karya seni. Aspek tidak teknik dapat dijabarkan
sebagai berikut; pertama adalah aspek pendidikan dan pengetahuan seniman,
selanjutnya kedudukan di lapangan (seperti adanya insiden dalam sebuah
pertunjukan), psikologis, saranan dan prasarana, cerita atau naskhah dalam
tari dan teater, lingkungan tempat tumbuhnya seorang seniman, latar belakang
budaya, waktu (waktu dalam proses), judul dan sinopsis, klasifikasi seni
(kontemporer, kreasi, tradisi, modern, post modern, happening art).
Pada persoalan kritik sebagai
penilaian dirasa perlu membedah objek kritikan dengan sistematika penilaian.
Sistematika sangat efektif dalam menentukan objektivitinya sebuah penilaian. Di
sini sengaja kita bicarakan masalah objektiviti, hal ini lebih disebabkan untuk
menghindari kritik yang berniat jahat, atau kritik yang bermuara hanya pada
rasa senang atau tidak senang pada suatu objek.
Sistematika yang akan dilakukan
adalah sistematika analisis dan penilaian. Kedua sistem ini dapat dilakukan
pada semua objek seni. Sebelum melakukan analisis perlu adanya data. Data yang
diperlukan adalah data tentang objek tersebut yang bersifat tidak teknik
seperti : idea (gagasan), judul, sinopsis, naskhah cerita, jenis karya, bentuk
penyajian, abstraksi karya, biodata seniman, konsep garapan, gambaran karya
terdahulu, jenis klasifikasi seni (kontemporer, kreasi, natural, tradisi,
happening art) dan sebagainya.
Seluruh data perlu difahami.
Dalam melakukan analisis perlu
mensingkronisasikan data dengan apa yang dilihat (apa yang disaksikan).
Di sini tempatnya seorang kritikus, mempertemukan antara aspek teknik dan tidak
teknik. Pertemuan kedua aspek ini pada gilirannya diharapkan menghasilkan penilaian
yang objektif.
Langkah selanjutnya masuk pada tahap
apa yang dinamakan penilaian. Dalam penilaian sudah ada sebuah pernyataan dan kesimpulan yang akan
dilontarkan. Pada kenyataan kedua ini sudah dapat dinyatakan tingkat
keberhasilan dan tingkat kegagalan. Di sini juga sudah dapat dilontarkan
tentang nilai artistik dan estetik terhadap sebuah objek kritik.Sebagai hasil penilaian,
perlu adanya argumentasi yang melatar belakangi pernyataan tentang nilai
tersebut. Argumentasi diperoleh setelah melakukan analisis pada kenyataan
pertama.

PUSTAKA IQBAL NAZIM
Selasa, Ogos 11, 2015
Menoleh kebangkitan Keranda 152
KERANDA 152
Anak Melayu
panas dadamu membakar baju
kita arak Keranda 152
ke arah perkuburan Parlimen
Sepuluh tahun nafas itu terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu
Usman Awang
1967
Disebabkan keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di Parlimen, para pejuang bahasa mengadakan perhimpunan besar-besaran di perkarangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967. Tujuannya untuk melahirkan protes kerana orang politik gagal meletakkan bahasa Melayu di tempat yang telah tertulis dalam Perlembagaan.
Tragedi bahasa Melayu yang membawa kepada perarakan Keranda 152 ke Parlimen itu berlaku sepuluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Dalam usia kemerdekaan yang dianggap masih muda kalangan tokoh politik Melayu telah lupa tentang peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Kalangan tokoh politik Melayu ketika itu kelihatan tidak ada semangat untuk memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu, semua ini terpancar daripada keputusan di Parlimen yang meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tidak sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kemarahan perjuang bahasa dan rakyat jelata tidak ada agenda politik di sebaliknya. Mereka berjuang demi bahasa Melayu yang mulai dipijak selepas sepuluh tahun merdeka.

Apakah kita memerlukan perhimpunan Keranda 152 yang kedua untuk menyedarkan kalangan pembuat dasar supaya bahasa Melayu diletakkan di tempat yang dimuliakan dalam Perlembagaan? Ketika pejuang bahasa dianggap kolot dan anti establishment, gerakan memartabatkan bahasa Melayu tetap diteruskan.
Petikan ucapan bekas Ketua Pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail pada perhimpunan Keranda 152 40 tahun lalu wajar menjadi renungan pembuat dasar. Kata Syed Nasir, " Saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat."
Kalau ditoleh sejarah silam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa bagi kerajaan Melayu- Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang dan menjadi alat pengembangan agama Islam di Nusantara sejak abad ke 13. Bukan itu saja malah menjadi lingua franca perdagangan dan sosial sejak ratusan tahun dulu. Kemudian pada 1957 bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan.

Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad memberitahu, mulai tahun ini Hari Pejuang Bahasa 152 akan dijadikan acara tahunan untuk mengingatkan kembali kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan berusaha meletakkan bahasa Melayu di tempat yang wajar dalam pembangunan negara masa kini.
Menurutnya, Kalam yang mengepalai Hari Pejuang Bahasa 152 dengan sokongan banyak persatuan penulis dan NGO Melayu gembira kerana mendapat sokongan pelbagai pihak untuk menganjurkan acara penting bagi memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Sokongan itu diharap boleh memberi isyarat kepada pembuat dasar supaya berhati-hati menggubal sesuatu dasar yang melibatkan masa depan dan kepentingan bahasa Melayu.

PUSTAKA IQBAL NAZIM