Ahad, November 01, 2015

Jasni Matlani, sang penginspirasi...


UMUM telah maklum bahawa Jasni Matlani (JM) adalah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2015 ke-37 bagi Malaysia. Sesekali Menoleh ke Belakang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pemilihan JM. Sekali gus menjadikannya yang ketiga sasterawan daripada negeri Sabah selepas Allahyarham Datuk Haji Ismail Abbas, Amil Jaya (1992) dan Azmah Nordin (2009). Jelasnya penobatan penerima anugerah berprestij Asia Tenggara ini  bukanlah mudah. Banyak sekali ranjau yang harus ditempuhi. Bagaimana pun ranjau itu sebenarnya adalah usaha gigih, iltizam dalam pelestarian dunia penulisan di samping kesungguhan terhadap penglibatan tokoh dalam dunia persuratan baik dalam Negara mahupun di luar Negara. JM telah membuktikan semua ini melalui lebih 20 buah buku tulisannya dan kerterlibatannya dalam gerakan berorganisasi melalaui IPS sebelum memimpin Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) seterusnya sebagai ahli jawatankuasa kerja dalam Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Secara peribadi saya mempunyai sejarah tersendiri dengan JM di awal perkenalan kami. Walaupun saya selalu membaca catatan-catatannya di media massa, tetapi tidak pernah bertemu walaupun kami berasal dari daerah yang sama iaitu Beaufort. Perkenalan kami bermula apabila saya membuat polemik terhadap ulasan puisi-puisi di salah sebuah media massa di Sabah. Kemudian JM membuat respon, saya balas, JM berhujah lagi sehingga akhirnya saya fikir baik bersemuka. Dari situlah kami bersahabat, kebetulan juga kami tinggal di tempat yang sama di Kampung Petagas Putatan.

Masa itu saya aktif bersama Kumpulan Anak Seni, seingat saya pernah mengundang JM membaca puisi di Maktab Perguruan Gaya (kini Institut Pedidikan Guru).

Apabila saya menyertai Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada 1992, pentas kami menjadi lebih terbuka untuk menggerakkan sastera di Sabah. IPS amat digeruni dan tidak disukai pada peringkat penubuhannya. Gerakan agresif yang diketuai JM bersama-sama Aliuddin Mohd Salleh dan Abd Naddin Shaiddin seperti suatu hambatan kepada generasi veteran yang menguasai dunia sastera ketika itu. Sebenarnya anggapan itu saya rasa tidak berapa tepat walaupun berlaku juga rasa kurang senang sesetengah pihak. Tetapi, IPS sebenarnya menjadi teduhan terbaik khususnya para penggiat muda sastera pada awal 90-an selari dengan gerakan dan kebangkitan penulis muda seluruh Negara.

Jika mahu menceritakan sejarah gerakan sastera bermula 90-an hingga sekarang memang panjang. Banyak pahit dan manisnya, banyak juga kecemerlangan dan juga persoalan yang saya fikir tidak perlulah dicatat di sini. Fokus catatan ini bagaimana JM dianggap sebagai pencetus aktiviti sastera yang agresif, enggan mengaku kalah dan berani. Sudah sewajarnyalah, dalam penilaian yang dilakukan JM diperakukan menerusi pemikiran, gerak kerja dan keberhasilan program-program sastera bersandarkan idealismenya.

Salah satu idealisme JM yang saya fikir amat penting ialah bagaimana penulis dapat menerbitkan karya mereka. Pada satu ketika permasalahan penerbitan akibat birokrasi yang berlaku menjadi penyebab masalah penerbitan buku menjadi halangan, pada 1997 JM memberanikan diri setelah menjadi penulis sepenuh masa membuka pejabat IPS dan kedai percetakan secara manual. Sebelum itu kami memang ada sejarah yang menarik. Saya, JM dan Robby A menggerakkan SLC Sdn Bhd. Robby yang mahir menggunakan perisian publisher mula membuat reka bentuk buku. Maka terbitlah (tanpa rujukan ISBN) buku puisi JM, Kabus; buku saya, Akar Cahaya dan Datang Kembali; buku Allahyarham K.Bali, Tetap Merdeka; Jurnal Puisi dan buku-buku panduan menulis puisi dan drama Radio.

Itu sejarah awalnya. Kecemerlangan JM sebenarnya bermula dari sini. Kemudian pengalamannya menangani pelbagai persoalan penerbitan yang tidak selesai melalui agensi yang diharapkan akhirnya menjadi pendorong beliau menerbitkan sendiri beberapa bukunya yang lain. Antaranya Kumpulan Cerpen Dunia Iris dan Kumpulan Eseinya, Refleksi.

Dalam organisasi, satu sikap yang saya amat kenali, jika beliau mahu setiap perancangan mesti dilaksanakan walau dalam apa keadaan sekali pun. Semasa bersama IPS, kami berjaya menganjurkan Forum Sabah Baharu di Kota Kinabalu, Khemah Sastera di Binsuluk Membakut, Malam Nostalgia Sasterawan Sabah di Hotel Palace, Minggu Sastera, Pengucapan Umum Shuhaibun Yussuf, Peraduan Menulis Puisi Ramadan dan banyak lagi. Keberanian dan komitmen yang tingginya sesungguhnya menjadi panduan saya sendiri apabila mengambil alih pimpinan IPS selepasnya.

Idealisme kami kadang-kadang berbeza, kami kadang kala bertengkar dan ada masanya bergaduh. Bagi saya JM insan yang amat berbeza, saya fikir begitu. Saya yakin dalam perbezaan akan wujud persamaan. Persamaan itu tidak lain adalah bagaimana pembangunan sastera dapat diungkayahkan. Saya tahu selepas ketiadaan kami, yang tinggal adalah gerakan sastera dan khazanahnya. 

JM selain sebagai pemimpin gerakan sastera lebih dikenali sebagai penulis yang versatil, luar biasa. Kehebatanya mengarang sukar ditandingi. Dari segi sejarah, JM mula berkarya pada akhir tahun 70-an lagi tetapi karyanya hanya mula diterbitkan di media cetak pada 1982. Luar biasa JM yang ini, iaitu menulis dalam pelbagai genre, persamaannya dengan SN A.Samad Said. JM menulis novel, cerpen, puisi, esei kritikan, esei bukan kreatif, naskhah pentas, buku kajian budaya dan buku biografi. 

Buku-buku yang dimaksudkan ialah 3 buah novel (Cinta Lestari, Burung Merak dan Pulau Tanpa Cinta), 7 buah buku kumpulan cerpen (Dunia Iris, Hujan Putih, Laron, Cerita Kota Kami, Negeri Malam, Pemburu Matahari dan Pembunuh Anarki), 3 buah buku kumpulan puisi (Kabus, Skrip Aneh dan Dongeng Perkebunan). Antologi Puisi ‘Tergantung pada Kata’ yang turut memuatkan karya JM, dianggap karya awal yang menggantungkan kata-katanya kepada pencarian yang lebih sempurna dalam berkaya. JM juga menghasilkan kajian sastera melalui ‘Sastera Sabah dalam Kritikan’, dan ‘Perkembangan Puisi Berunsur Islam Sabah’. Sebuah buku motivasi penulisan sastera kreatif dihasilkannya dengan tajuk ‘Cara Mudah Menghayati dan Menulis Cerpen’. Di samping kajian sastera, JM turut menulis kajian budaya iaitu ‘Kajian Busana Tradisional Etnik Sabah’ dan ‘Kajian Seni Badundang Masyarakat Berunai Sabah’. 

Memperkatakan penerbitan buku, tidak sempurna jika tidak menyebut genre biografi sebagai bahagian penting hasil penulisannya. JM pernah menyiapkan biografi ‘Datuk Lajim Ukin: Perjuangan dan Kepimpinan’, ‘Sejarah Parti Berjaya’ bersama Tan Sri R.M.Jasni dan Biografi TYT Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Haji Mahiruddin.

Dalam gerakan sastera antarabangsa, JM cukup dikenali, selain komitmennya bersama Gapena. Antaranya melalui Perhimpunan Sastera Budaya Negara Serumpun di mana beliau menjadi antara pendiri utama penubuhan organisasi PSBNS ini. PSBNS merupakan gagasan beliau bersama beberapa tokoh penulis di Indonesia. Saya sempat menyertai dua aktiviti PSBNS di Sumatera Barat (2013) dan di Jakarta-Bandung (2014). Apa lagi yang JM ada. Hadiah Sastera? Beliaulah penulis yang tidak pernah terlepas daripada menerima Hadiah Sastera Sabah sejak 1988 dalam genre sastera yang dikuasainya iaitu esei kritikan sastera, cerpen dan puisi. Di peringkat Kebangsaan, JM pernah meraih hadiah cerpen DBP-Maybank melalui cerpen ‘Mencari Balqis’. JM bahkan beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM)  anjuran DBP Malaysia. 

‘Tergantung pada Kata’ merupakan sayembara puisi pertama yang disertainya. Karya ini memenangi tempat pertama dan kumpulan puisi ini telah diterbitkan oleh DBP pada 1996. Bagaimana pun penerbitan ini bukan berbentuk perseorangan tetapi bergabung dengan dua penulis lain iaitu (Datuk) Ariffin Arif dan A.Rahim Tapa yang turut memenangi peraduan berkenaan. Buku ini menjadi kontraversi yang hangat sedikit masa dahulu. Pada 2004, JM menerima Hadiah Tinta Sastera DBP Cawangan bagi kategori cerpen. Ada lagi kemenangan JM sebenarnya, iaitu dalam peraduan menulis esei kritikan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 2002, 2003 dan 2004. Pada 2009 JM dinobatkan sebagai penerima Tokoh Penyair Islam Sabah. Namun demikian, pada saya kesan yang besar terhadap kepengarangan JM ialah apabila beliau memenangi hadiah ketiga bagi dua kategori kumpulan cerpen (Pembunuh Anarki) dan puisi (Dongeng Perkebunan) sekaligus dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH baru-baru ini.

JM sentiasa memberikan inspirasi bagi kebanyakan penulis di Sabah. Beliau yang sering menjadi mentor dan juga musyid DBP sudah pasti mempunyai pengikut yang ramai. Sebagai pengikut juga sebagai pelapis kepada generasi penulis yang mapan, harapan yang tinggi agar persiapan yang dikongsikannya itu akan meletakkan Sabah sebagai gedung bahan-bahan sastera yang terbaik di Negara ini. Walaupun anugerah, hadiah dan penghargaan bukanlah menjadi hala tuju utama, saya percaya selepas JM, akan diikuti beberapa orang penulis yang versatil, yang mampu menyaingi para penulis di tempat lain di Negara ini. Dengan syarat, istiqamah dalam pengarangan, mempamerkan bentuk karya yang luar biasa dan gigih memperkasa dunia kepengarangan.  Penulis Sabah pasti boleh! 

© Pustaka Iqbal Nazim

Foto: Penulis bersama JM dan Datuk Hj Kamarlin Ombi

Tiada ulasan: